Tazkirah

Firman Allah:
"Demi sesungguhnya telah tetap hukum seksa atas kebanyakan mereka kerana tidak mahu beriman"
(Yaasin: 7)



MENU

Hyperangkai
Parti Islam Se Malaysia (PAS)
Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu
Dewan Muslimat PAS Pusat

Waktu Solat
Kawasan Kuala Terengganu/ Marang
Tarikh: 11-15 Mei 2005


SEJARAH PENUBUHAN

::SEJARAH PERKEMBANGAN DEWAN MUSLIMAT PAS NEGERI TERENGGANU::


Menurut catatan yang dibuat oleh Ustaz Omar Syukri Embong iaitu Pesuruhjaya PAS Terengganu yang ketiga (1963 – 1966), pergerakan PAS Negeri Terengganu bermula pada tahun 1956. Secara rasminya PAS cawangan Dungun adalah yang pertama ditubuhkan iaitu pada 6 Julai 1956 di Madrasah Al Zainiyyah di Sura Gate, Dungun tahun 1956. Ia berlaku pada jam 5.00 petang dimana seramai 23 orang pencinta politik Islam telah berkumpul di situ bagi membincangkannya. Dalam majlis itu wakil PAS Pusat, Haji Muhammad Asri Haji Muda telah memberikan penerangan kepada mereka. Mereka bersetuju untuk menubuhkan cawangan itu dengan melantik satu jawatankuasa dengan diketuai oleh Tuan Guru Haji Zainal Abidin Aman. Selepas itu pengaruh PAS mula berkembang, dan tertubuhlah cawangan-cawangan lain di Terengganu seperti Cawangan Kuala Terengganu pada tahun 1956, Cawangan Kemaman pada tahun 1957, Cawangan Besut pada tahun 1958 dan Cawangan Kuala Berang pada tahun yang sama. Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu ditubuhkan pada tahun 1957 di mana Muhammad Asri Haji Muda telah dilantik sebagai Pesuruhjaya yang pertama oleh PAS Pusat pada tahun 1956 – 1957. Pesuruhjaya-pesuruhjaya PAS yang berikutnya adalah Mohd Azzam Hanafiah (1957 – 1966), Mohd. Daud Samad (1961 – 1963), Omar Syukri Embong ( 1963 – 1966), Mohd. Daud Samad ( 1966 – 1972), Haji Kassim Ahmad (1972 – 1975), Encik Wahab Yunos ( 1975 – 1982), Tuan Guru Haji Abdul Hadi Hj. Awang (1982 – 1989) dan Ustaz Harun Taib (1989 – 2003). Untuk memantapkan lagi perjuangan, parti PAS Terengganu telah menubuhkan beberapa Dewan. Diantaranya ialah Dewan Ulama’ dan Dewan Muslimat PAS (1957) serta Dewan Pemuda (1961). PAS mula berkembang di Terengganu pada tahun 1956 dan pada tahun 1959, buat petama kalinya PAS menyertai Pilhanraya Umum. Penyertaan pertama kali ini benar-benar memeranjatkan Kerajaan Perikatan ketika itu apabila PAS berjaya menawan Terengganu. PAS berjaya mendapat 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dari 24 yang dipertandingkan. PAS juga berjaya mendapat 4 kerusi Parlimen dari 6 kerusi yang dipertandingkan. Kemenangan ini telah mengatasi Perikatan dengan kelebihan 4 kerusi. Ini bermakna PAS berhak membentuk kerajaan, tetapi tidak berjaya mendapat 2/3 kerusi yang boleh membuat PAS menguasai penuh negeri Terengganu. Di antara calon Parlimen PAS yang menang termasuklah seorang wanita iaitu Khadijah Sidek bagi kawasan Dungun.


Hari ini, bila menyebut PAS, pencinta gerakan Islam akan segera mengingati peranan muslimat di samping ulama’ dan pemuda sebagai sayap-sayap Parti Islam Se Malaysia. Tetapi jarang sekali orang menge tahui perkembangannya dari awal apatah lagi mengenalinya dari dekat. Pada ketika itu pergerakan PAS berlainan dari susunan masa kini. Apa yang dikenali dengan cawangan pada waktu itu ialah kawasan pada masa sekarang sedang cawangan sekarang dikenali sebagai ranting pada ketika itu. Perkembangan muslimat muncul diperingkat cawangan-cawangan seperti; Cawangan Kuala Terengganu, Cawangan Besut dan Cawangan Dungun. Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu ditubuhkan peringkat demi peringkat di cawangan-cawangan ketika itu. Cawangan yang mula-mula sekali di tubuhkan ialah cawangan Kuala Terengganu iaitu pada bulan Oktober 1957. Kemudian diikuti pula oleh cawangan Besut dan Dungun pada awal tahun 1958. Penubuhan cawangan muslimat di peringkat Kuala Terengganu telah dihadiri oleh ketua Dewan Muslimat PAS Pusat waktu itu iaitu Ustazah Zubaidah Ali dan dirasmikan oleh Ustaz Muhammad Asri Haji Muda Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan. Dalam mesyuarat penubuhan ini To’ Puan Nik isteri kepada Datuk Abdul Rahman telah dipilih menjadi ketua. Manakala naib ketuanya pula ialah Puan Normah Abdul Manan atau dikenali dengan panggilan Mak Cik Siti yang berasal dari Sumatera, Indonesia. Selepas To’ Puan Nik ia dipimpin pula oleh To’ Puan Siti Rogayah Sheikh Salim selepas mesyuarat agongnya yang pertama pada tahun 1958. Cawangan Besut pula dirasmikan sendiri oleh Ustazah Zubaidah Ali Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat pada tahun 1958. Cawangan ini mempunyai seorang ketua dan beberapa orang ahli jawatankuasa. Hjh. Fatimah Ismail telah dilantik sebagai ketua manakala ahli jawatankuasanya terdiri dari pada Hajjah Khadijah Idris, Salmah Jaafar, Sa’adiah Mohd (Mak Teh Padang Galah) dan beberapa orang lain. Manakala di cawangan Dungun, muslimat PAS telah memilih Che Diah Abdul Rahman sebagai ketua. Beliau di kenali dengan panggilan Kak Di. Penubuhannya dihadiri oleh Ainun Mahmud, Mariam Ismail, Hajjah Halimah Mahmud dan lain-lain. Selepas Che Diah, cawangan ini dipimpin oleh Cik Engku Cik Wan Munah Muda. Pada umumnya penubuhan Dewan-dewan Muslimat Cawangan berlaku sebelum tahun 1959, iaitu sebelum men jelangnya pilihanraya umum yang pertama bagi seluruh Persekutuan Tanah Melayu. Cawangan-cawangan ini ditubuh kan sebagai persiapan menghadapi pilihanraya tersebut. Pergerakan muslimat di peringkat awal tidaklah menyeluruh kerana ramai yang terlibat dalam pergerakan ini adalah para pemimpin yang sekaligus bertindak sebagai pekerja. Aktiviti pergerakan mereka lebih bersifat kemasya rakatan seperti mengadakan kelas-kelas masakan, jahitan dan sebagainya. Mereka juga pernah mengadakan ujian membaca al-Quran peringkat cawangan dan negeri. Dari aktiviti-aktiviti seumpama inilah mereka mendapat sokongan daripada wanita-wanita lain dalam masyarakat waktu itu. Boleh dikatakan bahawa penyertaan wanita di dalam pergerakan muslimat PAS masa itu banyak bergantung kepada kewibawaan yang ada pada pimpinan muslimat itu sendiri. Di samping penglibatan mereka dalam aktiviti kemasyarakatan, mereka juga terlibat secara langsung dalam pilihanraya umum 1959. Ini telah diperakui sendiri oleh pemimpin-pemimpin veteran PAS Negeri Terengganu. Muslimat telah berkempen dari kampung ke kampung dengan tidak mengenal penat lelah dan kepayahan, walaupun terpaksa berjalan kaki berbatu-batu jauhnya. Pada hari ini muslimat PAS telah dikenali umum. Mereka sudah ada identiti sendiri samada dalam syiar kehidupan seharian ataupun dalam perjuangan politik. Mereka memainkan peranan di dalam pel bagai bidang. Peranan mereka boleh dibahagikan pada umumnya kepada tiga bahagian iaitu pentarbiyahan, politik dan sosial ekonomi. Pentarbiyahan di kalangan muslimat bukan saja untuk dalaman tetapi pentarbiyahan luaran. Majlis ilmu, usrah, tamrin, seminar dan kursus menjadi medan tetap pentarbiyahan muslimat. Medan ini pula diperluaskan kepada wanita-wanita umumnya di dalam masyarakat di mana aktivis-aktivis muslimat sentiasa mengajak wanita-wanita lain menyertai program-program tersebut dalam mana-mana yang diper luaskan kepada mereka. Bahkan muslimat telah dapat mengadakan ijtima’ secara besar-besaran yang menjadi sekolah kepada masyarakat. Dalam politik, muslimat melibatkan diri sepenuhnya bersama dengan Dewan Pemuda dan Dewan Ulama’. Mereka mempunyai markaz-markaz sendiri dalam menghadapi pilihanraya. Kempen dari rumah ke rumah dan menghantar handbill sudah menjadi tugas setiap muslimat. Mereka juga terlibat dengan kerja-kerja teknikal dalam pentadbiran pilihanraya di samping tidak ketinggalan mencari sumber ekonomi untuk tujuan itu. Dalam sosio-ekonomi pula, muslimat mengorak langkah ke arah mengatur hubungan dengan anggota masyarakat. Mereka membantu parti dalam mana-mana perkara yang di arahkan, khususnya dalam memakmurkan qaryah dan memberikan kecekapan kepada institusi yang ada dalam masyarakat. Umpamanya penglibatan mereka di dalam menjalankan PASTI, mengadakan kelas-kelas bimbingan, pameran dan lain-lain.

Muslimat adalah satu gelombang dalam kebangkitan Islam hari ini. Dewan Muslimat bukan sahaja menjadi wadah yang melatih ahli–ahlinya memahami amal fardhi tetapi juga bagaimana menguruskan amal jama’i. Kalau dulu muslimat lebih banyak bergerak di atas keupayaan peribadi pemimpin-pemimpin, tetapi dewasa ini muslimat terus bergerak di atas kaedah pimpinan secara kolektif. Keupayaan individu yang menjadi pimpinan hari ini tidak lagi menjadi alasan besar untuk anggota masyarakat memberi sokongan, malah mereka akan melihat kepada Dewan Muslimat PAS keseluruhannya.

Sokongan yang diberikan kepada Dewan Muslimat dari peringkat awal sudah menampakkan potensi dalam muslimat itu sendiri terutama penyertaan jururawat-jururawat di Kuala Terengganu pada peringkat awal penubuhannya yang membayangkan penyertaan golongan terpelajar dan profesional ketika itu. Sedang pada hari ini penyertaan golongan terpelajar dan profesional sudah tidak asing lagi bahkan PAS menjadi jamaah yang diharapkan oleh mereka dan sebagai tempat mereka memberikan sepenuh tenaga menyokong tegaknya Daulah Islamiah di negara ini. Kalau dulu muslimat kaya dengan himmah walaupun tidak berpelajaran tinggi, hari ini muslimat mempunyai kedua-duanya sekali. Sebagaimana organisasi lain, Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu juga mempunyai carta organisasinya yang tersendiri bagi memudah dan melicinkan pentadbirannya demi melaksanakan perjuangannya dalam menegakkan syiar Islam untuk mencapai cita-cita pembentukan sebuah negara Islam kerana, sebagaimana diketahui umum, tenaga muslimat merupakan tulang belakang penting yang memberi kekuatan kepada perjuangan yang dibawa oleh parti PAS. Oleh itu ianya sentiasa perlu diperkemas, diperkukuh dan diberi nafas baru supaya lebih berupaya menghadapi cabaran masa kini.




Hak Milik:
Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu
Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu
No. 33, Taman Sri Intan
Jalan Sultan Omar
20300 Kuala Terengganu
Terengganu Darul Iman
E-Mail: dmp_trg@yahoo.com

Dibangunkan Oleh: dmpnt's IT Teamz